Sidebar

11
Sel, Mei

OPS SUMBER AIR BERJAYA TANGANI INSIDEN PENCEMARAN DAN KEKANG HENTI TUGAS LPA

Alat
Tipografi

30 JUN 2020

KENYATAAN

OPS SUMBER AIR BERJAYA TANGANI INSIDEN PENCEMARAN DAN KEKANG HENTI TUGAS LPA

Sepanjang operasi pemantauan 24 jam Ops Sumber Air yang dilaksanakan bermula 18 Mac sehingga 30 Jun 2020, sebanyak 5 insiden pencemaran menyebabkan henti tugas loji pembersihan air (LPA) utama dilaporkan walaupun di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Operasi bersepadu yang diketuai oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pengurusan Air Selangor, Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Pejabat Daerah & Tanah (PDT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Operasi ini dijalankan oleh setiap agensi mengikut bidang kuasa masing-masing dengan pemantauan di lebih 20 kawasan sensitif sumber air.

Sepanjang Ops Sumber Air tersebut, LUAS telah mengaktifkan kod kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air sebanyak 5 kali bagi insiden yang tidak menjejaskan operasi LPA. Manakala sebanyak 5 kali Kod Merah kecemasan pencemaran sungai Negeri Selangor diaktifkan ekoran insiden pencemaran yang menyebabkan LPA terpaksa dihenti tugas. Bermula daripada 1 Jun sehingga hari ini (30 Jun 2020), LUAS telah menjalankan pemantauan dan rondaan setiap hari di kawasan-kawasan sensitif di lembangan Sg. Selangor dan Sg. Langat termasuk empangan-empangan negeri bagi memastikan tiada berlaku sebarang insiden pencerobohan dan pencemaran terhadap sumber air. Pihak LUAS telah mengeluarkan sebanyak 84 Notis Pemberitahuan Kesalahan dan 5 Kompaun.

Pemberitahuan Kesalahan bagi premis yang gagal mematuhi Enakmen LUAS 1999. Manakala pihak JAS Negeri Selangor melalui maklumat yang diterima telah mengeluarkan 7 kompaun dan 7 notis arahan terhadap premis yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sepanjang Ops Sumber Air ini.

Sepanjang operasi ini dijalankan, 5 insiden tumpahan minyak berjaya ditangani dengan segera iaitu; 1) Insiden di aliran pelepasan kolam sumber air alternatif KL-Larut pada 27 April 2020, 2) Insiden di Stesen Jana Kuasa Kuala Langat pada 4 Mei 2020, 3) Insiden kemalangan lori yang membawa muatan sawit dan terbakar di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) pada 4 Jun 2020, 4) Insiden pembuangan minyak hitam di longkang Jalan Olak Lempit pada 15 Jun 2020, dan 5) Kemalangan sebuah pacuan empat roda pada 18 Jun 2020 yang lalu. Kelima-lima tindakan pantas ini telah berjaya mengelakkan henti tugas LPA utama di Sg. Selangor, LPA Labohan Dagang dan LPA Bukit Tampoi di Sg. Langat serta LPA Sg. Labu dan LPA Salak Tinggi di Sg. Labu. Melalui operasi ini juga, tempoh masa henti tugas loji-loji yang terlibat dengan insiden pencemaran Kod Merah dapat dikurangkan hasil daripada tindakan bersepadu LUAS dan semua agensi terlibat.

Secara kesimpulannya, LUAS bersama agensi-agensi berkaitan adalah komited dalam memastikan insiden pencemaran dikekang dan ditangani dengan segera agar LPA beroperasi sebaiknya dan gangguan bekalan air kepada pengguna dapat dielakkan. Untuk tujuan itu, Ops Sumber Air ini akan terus dilaksanakan tidak terhad hanya ketika musim perayaan atau waktu-waktu tertentu. Pemantauan 24 jam tanpa henti akan dilaksanakan oleh LUAS bersama pihak AIR Selangor bagi memastikan kelangsungan sumber air dan bekalan air terawat. Kerajaan Negeri Selangor dan LUAS menyeru kepada semua agar prihatin terhadap kawasan-kawasan sensitif sumber air negeri terutamanya sungai dan laporkan sebarang aktiviti mencurigakan. Pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air adalah tanggungjawab bersama.

Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Whatsapp : +6019 264 7904