Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat
LUAS turut hadir ke Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat Dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1446H di Dewan Syarahan Dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Kehadiran LUAS diwakili Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai LUAS, Pn. Haslina Binti Amer. DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima sumbangan wakaf bernilai RM401,986.55 di dalam Majlis Ihya' Ramadan hari ini. DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor berkenan hadir ke majlis berbuka ini. YAB Dato' Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari turut hadir bersama EXCO Agama lslam & Pembudayaan lnovasi Negeri Selangor, Y.B. Tuan Dr. Mohammad Fahmi Bin Ngah. Tetamu kehormat yang turut hadir antaranya, Y.B. Dato' Dr. Ahmad Fadzli Bin Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Y.Bhg. Dato' Johari Bin Anuar, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN, Y.Bhg. Datuk Bandar Shah Alam, Dato' Mohd Fauzi Bin Mohd Yatim dan Y.Bhg. Dato’ Haji Abd Hamid Bin Hussain, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang serta wakil-wakil jabatan/agensi kerajaan negeri. Majlis berbuka puasa ini dihadiri lebih 1,000 orang termasuk kariah masjid serta komuniti sekitarnya. Pelbagai juadah iftar disediakan kepada orang ramai, yang mula tiba dan memenuhi masjid berkenaan sejak jam 5.30 petang. DYMM Sultan serta Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib, isyak dan terawih.