Bengkel "From the Source to the Sea: Operationalising the 2040 Agenda"
LUAS menyantuni jemputan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan World Bank Group (WBG) sebagai salah seorang ahli panel di dalam bengkel "From the Source to the Sea: Operationalising the 2040 Agenda" di Hotel Zenith, Putrajaya. LUAS diwakili Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai, Pn. Haslina Binti Amer sebagai salah seorang panel bagi berkongsi maklumat dan pandangan berkenaan pengurusan sumber air dan cabarannya di Negeri Selangor selari dengan pendekatan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (Integrated Water Resources Management, IWRM). Sesi tersebut dikendalikan oleh YBhg Datuk Ir. Abdul Kadir Bin Mohd Din, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Turut hadir dan sebagai salah seorang panel dalam bengkel ini adalah Ahli LUAS, YBhg. Prof. Dr. Zulkifli Bin Yusop. Hadir sama Pn. Roshana Alma binti Mohd Ali, Setiausaha Bahagian Sumber Air (BSA) PETRA dan Pn. Judith Green, Pengurus Bank Dunia Negara untuk Malaysia. Turut hadir wakil-wakil dari pelbagai agensi dalam dan luar negara. Bengkel ini bertujuan menyediakan platform untuk menghimpun kepakaran kolektif bagi membantu penggubal dasar, pengamal industri, sektor swasta, ahli akademia, badan pemikir dan badan bukan kerajaan berkongsi pengetahuan, dan merangka hala tuju bersama ke arah pengurusan air yang lebih bersepadu, inovatif dan berdaya tahan. Di samping itu, bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, bengkel ini dilihat berupaya memberi peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memperkukuh kerjasama, memacu inovasi dan membentuk pendekatan yang praktikal demi menyokong pertumbuhan yang lebih inklusif dan berdaya tahan, Malaysia sebagai peneraju usaha meningkatkan keterjaminan air di peringkat serantau, selaras dengan komitmen dalam memelihara kelestarian alam sekitar. Turut hadir sama Pegawai Alam Sekitar LUAS, En. Mohd Nazifi Bin Nawawi dan Jurutera, En. Muhammad Hasif Bin Zulkafli.