Program Sesi ‘Teach-In’ Penjagaan Alam Sekitar Pesisir Sungai dan Pantai
LUAS berpeluang memberikan taklimat dan perkongsian berkaitan Zero Discharge Policy (ZDP) yang sedang dilaksanakan di Negeri Selangor melalui peraturan Peraturan-Peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian dan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar Negeri Selangor 2024 di Program Sesi ‘Teach-In’ Penjagaan Alam Sekitar Pesisir Sungai dan Pantai Kawasan Majlis Bandaraya Diraja Klang di Dewan Hamzah, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK). Sesi taklimat diberikan oleh Ketua Unit Pejabat Wilayah Klang/Sg. Buloh, En. Mohd Nazifi Nawawi. Dalam masa yang sama, LUAS diberi peluang membuka kaunter khidmat nasihat mempromosikan mengenai inisiatif yang sedang giat dijalankan oleh LUAS berkaitan ZDP dikendalikan oleh En. Muhammad Ariff Ameer Bin Zainalfikry dan Pn. Zimie Faridza Binti Norazmi masing-masing merupakan jurutera di LUAS. Sesi taklimat menyentuh kepada pelaksanaan ZDP di Negeri Selangor, di mana ZDP ini antara lain bertujuan untuk menggalakkan premis-premis yang berkaitan mengurangkan kuantiti pelepasan efluen serta menggalakkan premis-premis tersebut menjalankan usaha penggunaan semula air sisa. LUAS bersama PBT negeri komited untuk menjayakan ZDP berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 bagi memastikan impak pelepasan aktiviti sekeliling kepada sumber air dapat dikurangkan sekaligus kualiti sumber air negeri juga dapat ditingkatkan. Program dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Haji Abd Hamid Bin Hussain, Datuk Bandar MBDK. Selain LUAS, turut hadir membuka kaunter khidmat nasihat adalah dari Indah Water Konsortium (IWK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor. Program ini bertujuan untuk memberi penerangan berkaitan kelulusan pelan pembangunan dan pematuhan syarat teknikal bagi memastikan penjagaan alam sektar yang baik dan mampan selaras dengan Pelan Tindakan 'Cintai Sungai Klang'. Program disertai lebih daripada 400 orang wakil pelbagai agensi dan pengusaha aktiviti perindustrian di kawasan Klang.