Mesyuarat Bersama Agensi Pengurusan Sumber Air Negeri di Malaysia Bil. 1/2024
Mesyuarat Bersama Agensi Pengurusan Sumber Air Negeri di Malaysia Bil. 1/2024 yang diadakan di Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Sabah adalah merupakan mesyuarat dwi-tahunan yang dipengerusikan oleh Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), YBrs. Ts. Tn. Hj. Hasrolnizam Bin Shaari. Turut hadir untuk merasmikan mesyuarat ini ialah YBrs. Tuan Sernam Singh, Setiausaha Hasil Bumi, Pejabat Hasil Bumi, Jabatan Ketua Menteri Sabah. Mesyuarat ini melibatkan 20 agensi pengurusan sumber air setiap negeri di Malaysia termasuk Bahagian Perkhidmatan Air Dan Pembentungan, Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), Bahagian Bekalan Air Putrajaya dan Jabatan Wilayah Persekutuan. Mesyuarat ini merupakan salah satu medium untuk semua agensi-agensi negeri di Malaysia yang bertanggungjawab menguruskan sumber air (air mentah) negeri untuk membincangkan hal-hal berkaitan pengurusan sumber air merangkumi perkongsian maklumat, hala tuju pengurusan sumber air dan jaringan kerjasama di antara negeri bersempadan berkaitan isu sumber air.