Pada 29 dan 30 September 2018, LUAS telah menganjurkan Program Hari Sungai Sedunia 2018 Peringkat Negeri Selangor di Off-River Storage (ORS) Kg. Hang Tuah, Bestari Jaya, Kuala Selangor. Program ini telah dirasmikan oleh Dato'Menteri Besar Selangor, Tuan Amirudin bin Shari. Program Hari Sungai Sedunia yang ke-14 ini disambut lebih daripada 60 buah negara diseluruh dunia termasuk Malaysia. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam sambil menggalakkan pengawalan kebersihan dan kelestarian sungai-sungai yang terdapat di Selangor. Sungai-sungai kita menghadapi pelbagai ancaman dan tekanan pencemaran akibat daripada perbuatan manusia secara langsung atau tidak langsung. Oleh itu, marilah kita bekerjasama antara satu sama lain memelihara dan memulihara sungai kita. Kebersihan air sungai adalah tanggungjawab semua peringkat tidak kira kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan dan apatah lagi masyarakat.
Pelbagai aktiviti dijalankan selama 2 hari program ini berlangsung antaranya ialah pameran, kenduri rakyat, pertandingan kayak, pertandingan mengecat kerusi, pertandingan membina bot, persembahan live band dan sebagainya. ORS Kg. Hang Tuah ini dipilih untuk dijadikan sebagai lokasi program adalah sebagai langkah pengenalan SMART ORS kepada orang awam. SMART ORS ini merupakan inovasi daripada pihak LUAS dan telah dinobatkan sebagai pemenang bagi Anugerah Projek Terbaik Keseluruhan Majlis Persada Inovasi Negeri Selangor (MPIPANS) pada tahun 2017. Pada tahun ini jugak LUAS telah dinobatkan sebagai Projek Inovasi Hibrid Terbaik bersama pihak UNISEL, serta johan bagi Kategori Sosial Penambahbaikan bagi MPIPANS.