Majlis Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj
Pengarah LUAS, Ybrs. Ts. Tuan Haji Hasrolnizam bin Shaari dan beberapa kakitangan LUAS turut hadir ke Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang bertemakan Ilmu Tasawuf Merungkai Masalah Ummah pada 25 November 2024 (Isnin) di Auditorium, Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam. Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor berkenan menyampaikan titah perasmian dan menyempurnakan pelancaran Laman Web (Jurnal Fatwa dan Falak Selangor JUFFAS), Sistem Taudhih Al-Hakam dan Sistem eFalak Selangor. Multaqa ini diadakan dua tahun sekali dan edisi tahun 2024 bertujuan memberi kefahaman dan kesedaran kepada umat Islam berkaitan ilmu tasawuf dan tarekat yang sebenar berlandaskan metodologi Ahli Sunnah Wal Jamaah, seterusnya menangkis tanggapan dan persepsi negatif berkaitan ilmu tasawuf dalam kalangan masyarakat khususnya di Negeri Selangor serta melahirkan masyarakat berakhlak mulia yang menerapkan sifat ihsan dalam kehidupan seharian. Majlis diteruskan dengan syarahan utama oleh YBhg. Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al Hamid bertajuk Sejarah Ilmu Tasawuf dan Amalan Tasawuf di Alam Melayu dan Selangor Darul Ehsan. Turut diadakan, Forum Ilmu Tasawuf dan Tarekat: Maqam Ihsan dalam Islam dan pembentangan resolusi oleh Y.B. Tuan Dr. Mohammad Fahmi Bin Ngah, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor.