Majlis Tadarus Perdana 2025
LUAS turut tidak ketinggalan terlibat dalam Majlis Tadarus Perdana sempena Ramadan 1446H anjuran Akademi Literasi Al-Quran Selangor di Dewan Solat, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Alam. Majlis Tadarus Perdana ini berjaya menghimpunkan dalam 300 orang penjawat awam Negeri Selangor. LUAS diwakili 9 orang kakitangan yang diketuai oleh En. Nazifi Bin Nawawi, Ketua Unit Pengurusan Alam Sekitar. Bacaan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan perlu membaca 1 juzuk sehingga selesai. Turut hadir Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sohibul Fadhilah Ybhg. Dato’ Muhammad Farhan Bin Wijaya. Tausiah Khas yang dikendalikan oleh Dr. Muhammad Arif Bin Musa, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM menjadi salah satu pengisian di dalam program Tadarus Perdana ini. Objektif program ini adalah untuk menjadi platform dan aktiviti mendidik jiwa sepanjang bulan Ramadan, memantapkan bacaan dan tahsin semasa mengadakan tadarus & khatam Al-Quran serta meningkatkan budaya Al-Quran selain sahsiah diri dalam kehidupan seharian. Menerusi program Tadarus Perdana ini, diharapkan segala usaha baik ini dapat diteruskan lagi biarpun Ramadan telah berlalu. Semoga ukhwah yang terbina ketika bertadarus ini berpanjangan dan mengeratkan silaturahim antara kakitangan LUAS dan penjawat awam Negeri Selangor yang lain. Pastinya ini merupakan kenangan manis buat LUAS dengan berjaya mengkhatam Al-Quran dan terlibat dalam program seumpama ini.