Loader
Logo LUAS
Print

Majlis Penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A & Pakej C

LUAS turut sama hadir ke Majlis Penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A & Pakej C di Bestari Jaya. Program dirasmikan oleh Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari. Turut hadir Speaker Dewan Negeri Selangor, Y.B. Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Bin Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor; Y.B. Dato’ Ir. Haji Izham Bin Hashim, Exco Infrastruktur dan pertanian; Dato' Johary Bin Anuar, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Merangkap Pengarah UPEN; serta pegawai-pegawai kerajaan, ahli-ahli majlis dan dif-dif kehormat yang lain. Dalam ucapan Dato’ Menteri Besar Selangor, Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam memastikan sumber air di Negeri Selangor sentiasa terpelihara. Kerajaan Negeri melalui LUAS telah melaksanakan beberapa tindakan bagi mengelakkan masalah pencemaran sungai dari terus berulang antaranya pelaksanaan kawalan pelepasan melalui ZDP oleh sektor perindustrian dan perkilangan serta pindaan Enakmen LUAS 1999 bagi pesalah-pesalah pencemar sumber air dari segi hukuman yang lebih tinggi. Kehadiran LUAS diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai LUAS, Pn. Haslina Binti Amer bersama Pegawai Kanan LUAS hadir sama ke program ini. LUAS sentiasa selari dan menyokong inisiatif Kerajaan Negeri dalam memastikan kualiti sumber air di Negeri Selangor sentiasa terpelihara. SJAM merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani permasalahan sumber air mentah di Sungai Selangor dan Sungai Langat yang berisiko mengganggu operasi loji rawatan air. Pada 8 November 2024, Projek Pakej B - Stesen Pam Rantau Panjang di Rumah Pam Rantau Panjang, Kolam Hang Tuah, Bestari Jaya telah disempurnakan. Projek pembinaan Rumah Pam Rantau Panjang menerusi SJAM ini telah bermula pada 20 Disember 2021 dan berfungsi bagi mengatasi penutupan LRA Rantau Panjang akibat pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor dan stesen ini mampu membekalkan air mentah dengan kapasiti 40 JLH secara terus dari kolam Hang Tuah 5, ke muka sauk LRA Rantau Panjang.

FacebookFollow us on Facebook
TwitterFollow us on Twitter
YoutubeFollow us on Youtube
RSSFollow our RSS Feed
InstagramFollow us on Instagram