Kursus Integriti dan Akauntabiliti dalam Perkhidmatan Awam
Integriti dan akauntabiliti ialah asas penting yang perlu ada di dalam diri setiap individu dan organisasi. Kegagalan individu dan organisasi mempraktikkan nilai integriti dan akauntabiliti akan memberi kesan negatif kepada diri, masyarakat dan negara amnya. Sehubungan itu, LUAS melalui Unit Pengurusan Sumber Manusia dan Integriti (PSMI) mengambil inisiatif untuk mengadakan Kursus Integriti dan Akauntabiliti dalam Perkhidmatan Awam di ibu pejabat LUAS. Kursus ini diadakan dengan kerjasama Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA). Sesi taklimat telah dikendalikan oleh Penguasa Kanan, Ketua Sekolah Penyiasatan dan Forensik Pusat Akademik MACA, Tuan Kamarul Zaman Mosman. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai LUAS, Pn. Haslina Binti Amer hadir merasmikan program ini. Objektif kursus ini diadakan bagi meningkatkan pemahaman mengenai kepentingan integriti dalam setiap aspek pekerjaan dan peranan sebagai penjawat awam serta memahami kepentingan pembudayaan integriti dalam organisasi dengan berlandaskan pengamalan nilai integriti yang tinggi. Diharapkan sesi pengkongsian ilmu ini dapat membentuk sikap dan kredibiliti kakitangan LUAS agar sentiasa beretika dan mengamalkan integriti dalam melaksanakan tugas harian dengan penuh tanggungjawab.